KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan beliau kekal berkhidmat di peringkat Parlimen dan tidak akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bulan depan.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, spekulasi berhubung hasratnya bertanding di peringkat DUN sebelum ini timbul susulan cadangan pewujudan kerusi baharu iaitu DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya itu berkata persempadanan kerusi baharu berkenaan tidak sempat diguna pakai pada PRN kali ini kerana belum diwartakan.
"Walaupun DUN Sarawak sudah meluluskan tambahan kerusi, ia (kerusi baharu) belum dibawa ke Dewan Rakyat untuk pengesahan. Jadi tidak sempat diguna dalam PRN ini, maka saya tidak ada tempatlah (di DUN)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri rakaman program terbitan Bernama TV di Wisma Bernama di sini hari ini.









