HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak diteruskan pagi esok selepas ditangguhkan sementara malam ini berikutan arus sungai yang masih deras.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi pencarian hari ini tertumpu di Seksyen C dengan menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan (K9), Pasukan Penyelamat Di Air serta lima buah bot.

Menurut beliau, pencarian turut melibatkan Polis Diraja Malaysia dan pasukan bomba sukarela (PBS) dengan pemeriksaan dilakukan di kawasan permukaan sungai.

“Di Seksyen B pula, pencarian lebih tertumpu kepada kawasan panas di sepanjang tebing sungai serta longgokan dan rimbunan pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.