TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui kepimpinan Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ) bagi tempoh 2026 hingga 2029.
Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif yang akan bertanggungjawab sebagai Pengerusi MAWEZ berharap dapat memperkukuh peranannya sebagai platform kerjasama strategik nasional dalam menyatukan kepakaran, pengalaman dan kekuatan 20 Universiti Awam (UA) bagi memperkasakan ekosistem wakaf, endowmen dan zakat dalam sektor pendidikan tinggi negara.
Pelantikan itu, katanya mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman UPSI dalam pengurusan wakaf, endowmen dan zakat, selain memberikan tanggungjawab besar kepada universiti berkenaan untuk memperkukuh kesepakatan serta menggerakkan agenda pembangunan MAWEZ bersama seluruh universiti awam.








