KOTA KINABALU: Sebuah hospital di Sabah berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kali kedua ke atas pasangan kembar siam jenis pygopagus.

Pygopagus merujuk sejenis keadaan kembar siam di mana kedua-dua bayi lahir dalam keadaan bercantum pada bahagian tertentu di bahagian belakang badan

Pembedahan terbaharu itu yang membabitkan kembar bayi lelaki pramatang yang bercantum pada bahagian bawah tulang belakang, tulang kelangkang dan pelvis, dijalankan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, dekat sini.

Kembar itu dilahirkan secara pramatang melalui pembedahan caesarean kecemasan pada usia kandungan 32 minggu, selepas keadaan itu dikesan semasa pemeriksaan antenatal rutin.