Bandar Gaza/Istanbul: Seorang wanita dan empat kanak-kanak maut manakala beberapa yang lain cedera selepas tanah runtuh menghempap khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di tengah Gaza lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Pertahanan Awam.

Jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Basal memberitahu Anadolu bahawa ribut menyebabkan timbunan pasir dan batu runtuh lalu menghempap khemah di Deir al-Balah.

Agensi itu memaklumkan bahawa operasi mencari individu yang masih hilang sedang diteruskan.

Wartawan Anadolu melaporkan bahawa pasukan Pertahanan Awam dan penduduk tempatan berusaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan asas, namun usaha mereka terjejas akibat gangguan bekalan elektrik dan kekurangan peralatan menyelamat.