Melaka: Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan kepada usaha menangani isu birokrasi menerusi penggunaan teknologi bagi memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan dalam kempen minggu kedua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata pendekatan itu antara alternatif yang diketengahkan gabungan berkenaan dalam menawarkan penyelesaian terhadap keperluan rakyat, khususnya membabitkan urusan dengan agensi kerajaan.

Beliau berkata perkembangan teknologi ketika ini berupaya mempercepatkan pelbagai urusan, sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan manfaat daripada perkhidmatan kerajaan.

"Kita memberikan suatu alternatif kepada rakyat Melaka melalui penyelesaian kepada masa depan terutamanya dalam isu membabitkan birokrasi," katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.