Masjid Tanah: Tindakan parti lawan menyerang, mencaci dan menghina Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 disifatkan sebagai tabiat pembangkang yang masih diamalkan meskipun parti berkenaan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan BN pula lebih tertumpu kepada mengetengahkan manfaat yang boleh dibawa kepada rakyat berbanding memburukkan parti lawan.
"Itu memang menjadi tabiat semula jadi mereka. Walaupun sudah menjadi kerajaan, tetapi masih lagi berkelakuan seolah-olah mereka parti pembangkang.
"Sepatutnya sebagai parti kerajaan, mereka perlu menonjolkan bagaimana kerajaan sekarang, khususnya di peringkat Persekutuan, dapat memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai apa yang mahu dilakukan, apa yang sudah dilaksanakan dan apa yang sudah dicapai.








