Kuala Lumpur: Sebanyak 70 bungkusan mengandungi 76.14 kilogram (kg) bahan disyaki ganja ditemukan dalam bagasi tiga rakyat Malaysia yang tiba di Mauritius dari Dubai, 2 November lalu.

Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan, tiga suspek terbabit terdiri daripada dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun.

Ketiga-tiganya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) menaiki penerbangan Emirates EK709.

Menurut MRA, pemeriksaan dilakukan oleh Seksyen Antinarkotik Kastam (CANS) selepas ketiga-tiga penumpang dikenal pasti untuk pemeriksaan lanjut.