PASIR MAS – Seorang lelaki tidak sempat mengedar 11 kilogram (kg) ganja bernilai RM34,100 selepas motosikal yang dia tunggang terbabas ke dalam laluan berlumpur ketika ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kasban, Jeram Perdah di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda Wave tiada nombor pendaftaran dan dipercayai dibawa dari Thailand sempat melarikan diri ke dalam kawasan semak samun.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pegawai PGA mengekori sebelum mengarahkan penunggang motosikal tersebut berhenti sebelum suspek memecut laju dan terbabas ke jalan berlumpur.
Katanya, pegawai PGA bergegas membuat pemeriksaan pada motosikal tersebut sebelum menjumpai satu beg galas dan satu beg pakaian ditinggalkan selepas suspek melarikan diri.










