KUALA LUMPUR: Demi memastikan filem sulungnya, Baga: Esok Untuk Siapa menjadi milik sendiri, pengarah Ariff Zulkarnain sanggup menolak tawaran pelabur dari Singapura, sebaliknya, mengumpul dana sendiri bagi merealisasikan karya yang dianggap sebagai surat cinta buat negeri kelahirannya, Terengganu.
Ariff berkata, pelabur terbabit menawarkan modal pembikinan filem itu, namun, syarat pemilikan karya yang berpindah tangan selepas siap menyebabkan dia nekad menolak tawaran berkenaan.
"Saya berbincang dengan Syafiq Kyle dan kami berpendapat Baga perlu kekal menjadi milik kami. Kami sudah menghasilkan idea dan membangunkan cerita ini sendiri. Filem ini juga ibarat surat cinta saya buat negeri kelahiran saya," katanya ditemui pada malam gala filem Baga: Esok Untuk Siapa di Pavilion Damansara di sini, baru-baru ini.










