Kuala Lumpur: Malaysia terus membutirkan pingat pada setiap edisi Sukan Asia dan mengukuhkan kedudukan antara pencabar terbaik ASEAN. Namun, ironi di sebalik kejayaan itu, ganjaran buat atlet negara masih jauh ketinggalan berbanding kemurahan hati beberapa negara di rantau ini.

Bagi sesetengah orang, hadiah kewangan mungkin bukan agenda utama, sebaliknya lencana di dada harus diperjuangkan. Namun, imbuhan juga adalah salah satu motivasi penting bagi atlet negara.

Menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), atlet negara yang berjaya meraih emas dalam acara individu akan menerima RM80,000, RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa). Kadar sama turut digunakan bagi kumpulan kecil dua hingga empat atlet, tetapi jumlah itu perlu dibahagikan sama rata antara anggota pasukan.