WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, semalam memberi bayangan bahawa perjanjian diplomatik dengan Iran mungkin tidak dapat dicapai.

Anadolu Ajansi melaporkan Rubio menuduh Tehran mengemukakan tuntutan tidak realistik, sekali gus memberi amaran bahawa rundingan masih jauh daripada mencapai kejayaan.

"Beberapa negara masih berhubung dengan mereka dan mengemukakan pelbagai cadangan, namun saya tidak akan menyatakan kita hampir mencapai kejayaan dalam rundingan.

"Presiden sentiasa mengutamakan penyelesaian secara diplomatik bagi isu ini dan setiap masalah lain. Malangnya, ada kala perkara itu tidak dapat dilakukan," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Paris untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7).