KUALA LUMPUR: Penyanyi bertaraf diva Indonesia, Krisdayanti, sempat memohon maaf mengenai isu jerebu berpunca daripada kebakaran di Kalimantan yang turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia, baru-baru ini.

Krisdayanti atau mesra disapa KD, 51, semasa tampil di hari pertama Festival Ultra Kalcer mengakui isu kualiti udara tersebut turut memberi kesan kepada dirinya yang menetap di Jakarta.

“Maaf mengenai jerebu kelmarin. Saya pun turut terkesan dan merasainya, namun nasib baik saya masih boleh menyanyi pada malam ini. Kita akan lakukan yang lebih baik (we do better),” ujarnya di atas pentas sambil disambut sorakan semangat para peminat.

Dalam pada itu, penyanyi yang mula mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Menghitung Hari itu tidak menyangka berkesempatan membuat persembahan di festival yang dihadiri anak muda.