KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok mengakui masih belum berputus asa menjejaki bekas pemain bes kumpulan itu, Mohd Shukri Mohd Shaharudin atau Syuk, menjelang konsert mereka yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, dia sudah kira-kira 15 tahun terputus hubungan dengan Syuk selepas kali terakhir mereka bertemu sekitar 2009 atau 2010.

“Sebenarnya saya dah cuba menghubungi beliau, namun belum ada jawapan sampai hari ini. Saya cuba hubungi dan saya sendiri pergi ke kawasan rumahnya, tetapi tak jumpa.

“Saya ada bercakap dengan ibunya dan keluarga ada berkongsi nombor telefon. Mereka maklumkan dia sibuk dan akan hubungi semula, tapi saya masih belum dapat bercakap dengannya secara terus,” katanya ketika ditemui di majlis ‘Kerana Dia Memanggil’ Perkongsian Perjalanan Haji Alumni Irkaz Travel bersama Lisa Surihani & Tomok, di sini, hari ini.