Sungai Besar: "Selesai solat Maghrib berjemaah bersama keluarga, saya yang mahu menunaikan solat sunat terdengar bunyi pelik disusuli dentuman kuat. Rupanya ribut menerbangkan bumbung," kata penduduk Kampung Parit 3 Timur, di sini, Hassan Ahmad, 71, yang terjejas akibat ribut, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, kediaman dua tingkat lelaki warga emas terbabit rosak akibat bencana itu.

Rumah warga emas itu antara 40 kediaman terjejas susulan ribut di sekitar daerah Sabak Bernam, malam tadi.

Menurut Hassan, ketika kejadian, kesemua anaknya pulang bercuti ke kampung dan mereka sekeluarga solat berjemaah.