KUALA LUMPUR: Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia.
Badan guaman itu memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan pada 18 September lalu.
Majlis Peguam turut memohon pelaksanaan aturan itu ditangguhkan, sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman berkenaan.
Permohonan itu menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.








