Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) melakar kejayaan cemerlang apabila merangkul anugerah utama dalam Anugerah Media PERKESO I LINDUNG U 2026, sekali gus mengiktiraf kewartawanan berimpak tinggi tempatan.
Istimewanya, Anugerah Kencana KESUMA PERKESO LINDUNG SEMUA bagi kategori utama menyebelahi wartawan New Straits Times (NST), Intan Maizura Ahmad Kamal, atas mutu laporan yang mendalam serta memberi impak positif kepada kesedaran perlindungan sosial masyarakat.
Bagi Kategori Laporan Media Cetak Terbaik, wartawan Harian Metro (HM), Mohd Alhafiz Ithnin dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama.
Kecemerlangan itu diteruskan menerusi gandingan wartawan Berita Harian (BH), Suzalina Halid dan Latifah Arifin yang berjaya meraih tempat kedua dalam kategori sama.









