MELAKA: Semua menteri DAP dicabar supaya meletakkan jawatan dan keluar daripada kerajaan sekiranya benar tindakan itu dibuat atas dasar prinsip, bukannya sekadar melibatkan seorang pemimpin parti berkenaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peletakan jawatan hanya seorang menteri tidak cukup untuk membuktikan pendirian DAP, sekiranya pemimpin lain masih kekal dalam pentadbiran kerajaan.
“Kalau betul-betul DAP bercakap pasal prinsip, apa pasal satu orang saja pergi? Berhentilah semua. Keluar daripada kerajaan. Itu baru prinsip.
“Kalau setakat satu orang saja pergi, itu macam hujan gerimis yang tidak membasahkan badan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini hari ini.






