Kuala Lumpur: Kerugian Lembaga Tabung Haji (TH) bagi pelaburan yang kekal di bawah pengurusannya dianggarkan berjumlah RM2.8 bilion, manakala RM10.2 bilion lagi membabitkan premium pemindahan aset kurang berdaya saing kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), menjadikan kerugian keseluruhan RM13 bilion.

Kementerian Kewangan berkata, kerugian RM13 bilion itu merangkumi dua komponen iaitu premium pemindahan aset TH kepada UJSB pada 2018 bernilai RM19.9 bilion berbanding nilai pasaran RM9.7 bilion, serta kerugian bersih pelaburan bagi tempoh 2018 hingga 2025.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebanyak 14 pelaburan LTH didapati bermasalah, dengan tujuh daripadanya dilaporkan mengalami kerugian sepenuhnya dan sudah dirosot nilaikan sepenuhnya yang membabitkan pelaburan berjumlah RM2.58 bilion.