Melaka: Kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan diyakini dapat diselesaikan dalam masa terdekat menerusi perbincangan yang sedang dilakukan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu berkemungkinan membabitkan UMNO di peringkat pusat dan negeri, bersama Menteri Besar Negeri Sembilan bagi mencari jalan penyelesaian demi memastikan kepentingan rakyat terus diberi keutamaan.
"Insya-Allah itu sedang kami lakukan, ada kemungkinan pimpinan UMNO pusat dan kemungkinan pimpinan UMNO Negeri Sembilan bersama-sama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kita berikan keutamaan untuk memberikan perkhidmatan pada rakyat.
"Terutamanya menjelang pembentangan Belanjawan di Negeri Sembilan adalah mustahil sedang belanjawan ini dapat dilakukan jika tidak mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.









