KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, berhubung dapatan mengenai terdapat usaha terancang menggunakan teknologi itu untuk memanipulasi pilihan raya di Malaysia.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan sebarang penilaian dan tindakan susulan dibuat berdasarkan maklumat serta bukti mencukupi.

Menurutnya, MCMC mengambil maklum dan memandang serius laporan diterbitkan oleh syarikat berkenaan, berhubung dakwaan penyalahgunaan teknologi AI bagi tujuan manipulasi pengaruh politik yang menyasarkan pengguna di Malaysia.

"Berdasarkan maklumat dan bukti diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan bersesuaian mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasaan, agensi keselamatan, penyedia platform dan pihak berkaitan sekiranya diperlukan.