SELAYANG – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus dalam kejadian di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, di sini pada Rabu.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.Menurutnya, sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki yang berada di dalam rumah tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota yang berada di hadapan pintu."Akibat serangan itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya terputus ketika cuba mempertahankan diri."Anggota lain yang berada di lokasi kemudian berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri dengan berlari turun ke bawah," katanya dalam sidang media di Hospital Selayang di sini pada Rabu.Shazeli berkata, anggota polis berusia 26 tahun itu berpangkat Lans Koperal dan bertugas di bahagian kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.Beliau berkata, mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan."Anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pembedahan bagi usaha menyelamatkan pergelangan tangannya."Insya-Allah, kita berdoa supaya tangan mangsa dapat disambungkan semula," katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa kecederaan lain dialami anggota berkenaan termasuk di bahagian kepala dan badan."Anggota bomba dan KKM yang berada di lokasi turut mengalami sedikit kecederaan dan pihak polis sedang mendapatkan laporan lanjut daripada kedua-dua agensi berkenaan."Setakat ini hanya seorang suspek dipercayai terbabit dalam kejadian terbabit," katanya.