Kuala Lumpur: Lelaki dipercayai warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan seorang anggota polis hingga putus di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, petang tadi, meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba ditahan malam ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang polis menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 hingga 8 malam.

"Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tangkapan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas suspek.

"Namun tembakan itu hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan tersebut pihak polis berusaha untuk membawa suspek untuk buat rawatan di hospital," katanya pada sidang media di Hospital Selayang, malam ini.