SINGAPURA: Tiga insiden rompakan di laut dilaporkan berlaku ke atas kapal-kapal yang melalui Selat Melaka dan Singapura (SOMS) pada bulan ini, menurut Pusat Perkongsian Maklumat Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Kapal di Asia (ReCAAP ISC).

Menerusi amaran insiden dikeluarkan pada Rabu, ReCAAP ISC memaklumkan kejadian pertama berlaku pada 2 November, diikuti insiden kedua pada 4 November dan terbaharu pada 10 November.

Ketiga-tiga insiden itu berlaku berdekatan antara satu sama lain pada jarak kira-kira 3.2 batu nautika, membabitkan dua kejadian di atas kapal kargo pukal dan satu di atas kapal tangki.

Seorang anak kapal mengalami kecederaan dalam satu daripada insiden berkenaan, manakala tiada kecederaan dilaporkan dalam dua lagi kes.