Melaka: Seramai 150 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Hang Tuah Jaya mengumumkan keluar parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini memasuki fasa akhir.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, Md Firdaus Mashor berkata, keputusan itu dibuat secara bersama selepas perbincangan dan muafakat antara kepimpinan dan ahli.

Menurutnya, keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta pada hari ini, selain beliau turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Penerangan BERSATU Melaka.

Katanya, mereka turut menyatakan pendirian untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.