KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) meraih anugerah dalam kategori Pelaburan pada Pensions & Investments (P&I) WorldPensionSummit Excellence & Innovation Awards menerusi inisiatif Dana Pemacu bernilai RM6 bilion.

Dilancarkan pada Mei 2024, Dana Pemacu menyalurkan modal institusi jangka panjang kepada syarikat tempatan yang berpotensi mencatat pertumbuhan tinggi serta sektor keutamaan negara, termasuk peralihan tenaga, penjagaan kesihatan dan ekonomi digital.

Anugerah itu disampaikan pada 5 November 2026 sempena persidangan tahunan P&I WorldPensionSummit yang berlangsung di The Hague, Belanda.

Model rakan kongsi umum bersama (co-GP) yang diterapkan menerusi Dana Pemacu menggabungkan kepakaran firma pelaburan antarabangsa dengan pengurus dana tempatan, sekali gus menyediakan kerangka kepada dana pencen lain untuk membangunkan keupayaan pelaburan domestik sambil mengekalkan piawaian pelaburan yang ketat.