Shah Alam: Sepasang kasut dan pakaian konvokesyen yang sempat disediakan oleh arwah ibu menjadi saksi kejayaan seorang graduan cemerlang Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Detik bersejarah itu dilalui dengan linangan air mata oleh graduan, Norhamizah Afiqah Shaharil, 25, selepas ibunya, Norhashimah Md Yasin, 51, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser usus pada 6 Oktober lalu.

Lebih menyedihkan, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman dari Fakulti Alam Bina itu tidak sempat meraikan kejayaan merangkul Anugerah Naib Canselor (ANC) bersama insan tercinta itu.

Norhamizah berkata, hari konvokesyen yang sepatutnya menjadi momen paling bermakna buat mereka sekeluarga bertukar pilu, namun dia tetap gagah menaiki pentas demi menghadiahkan anugerah tertinggi itu buat arwah ibunya.