MELAKA: Dua bakat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 atas kecemerlangan menguasai kemahiran tahap tertinggi dalam bidang masing-masing.
Tenaga pengajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kampus Taiping Mohd Raimi Masrom merangkul anugerah utama bagi kategori WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) menerusi bidang mekatronik.
Bagi kategori WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), anugerah berprestij itu dimenangi oleh pelatih GiatMARA Jengka Arissa Nabiha Nor Hisham yang mempamerkan kemahiran cemerlang dalam bidang mengecat kereta.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak MATEPM 2026, yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.






