Kuantan:Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukan sebagai universiti teknikal berdaya saing global menerusi pembangunan akademik, perluasan program ijazah dual antarabangsa dan kerjasama industri bagi melahirkan graduan kompeten yang memenuhi keperluan pasaran kerja.
Naib Canselor UMPSA, Prof Ts Dr Yatimah Alias, berkata pengiktirafan antarabangsa, kecemerlangan akademik, penyelidikan berimpak tinggi dan jaringan strategik global menjadi pemacu utama universiti dalam merealisasikan aspirasi sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ini.
Katanya, UMPSA sentiasa meneroka pendekatan pendidikan inovatif bagi memastikan graduan bukan sahaja menguasai ilmu teknikal, malah mempunyai kompetensi profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan industri global.








