MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen yakin mampu mempertahankan kawasan itu, meskipun berdepan cabaran gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Chau Yen berkata, pengalaman sebagai penyandang kerusi menjadi antara kelebihannya kerana sudah mengenali penduduk serta memahami masalah setempat.
Menurutnya, perjalanan kempen setakat ini menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk mengekalkan kemenangan PH di kerusi berkenaan.
“Setakat ini kempen berjalan dengan baik dan saya optimis kita akan peroleh kemenangan sebab kalau nak pergi berperang kena ada keyakinan, jadi saya yakin,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di sekitar Banda Hilir di sini, hari ini.






