KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak mempunyai pusat tahanan khusus, sebaliknya hanya menyediakan lokap bagi menempatkan individu yang disyaki melakukan kesalahan sepanjang tempoh reman untuk tujuan siasatan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, individu terbabit akan ditempatkan di lokap berkenaan sementara menunggu proses siasatan selesai.
“Untuk makluman, setakat ini APMM tidak mempunyai pusat tahanan. Bagaimanapun, APMM mempunyai lokap tahanan untuk menempatkan orang yang disyaki dalam proses reman bagi tujuan siasatan sahaja.
“Selepas hukuman dijatuhkan, orang yang dituduh (OYDS) akan diserahkan kepada pihak penjara dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk ditempatkan di pusat tahanan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.









