Bukit Mertajam: Mengikat perut dan hanya beralaskan air kosong sebelum melangkah ke dewan kuliah bukanlah satu pilihan, sebaliknya realiti perit yang pernah dialami segelintir mahasiswa demi memastikan kelangsungan pengajian di menara gading.

Pengalaman pahit itu diakui penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, Izzat Izzani Iswandi, 23, yang berkongsi bahawa beliau pernah menahan lapar semata-mata mahu menjimatkan wang saku harian.

Namun, kepayahan itu kini terpadam susulan pengenalan inisiatif Dapur Siswa MADANI di kampus berkenaan yang bukan sekadar menjadi "talian hayat" meringankan beban sara hidup, malah menyuburkan amalan berkongsi rezeki serta mengeratkan ukhuwah sesama penuntut.