PUTRAJAYA: Google yang menambah pelaburan sebanyak AS$15 bilion (RM61 bilion) di Malaysia mencerminkan keyakinan kukuh terhadap keupayaan negara merealisasikan hasrat sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, pelaburan itu bukan sahaja menyokong pembangunan infrastruktur pengkomputeran AI, tetapi turut memberi nilai ekonomi, memacu pembangunan industri tempatan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan keupayaan teknologi rakyat Malaysia.

"Keutamaan kerajaan bukan sekadar meraikan kemasukan pelaburan asing, tetapi memastikan setiap ringgit dapat diterjemahkan kepada mobiliti ekonomi yang nyata, keterjaminan sumber serta keupayaan teknologi tempatan demi rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.