SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu siasatan penyelewengan hasil kutipan fi pemprosesan pelan bangunan RM63,000.

Wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi tadi ketika hadir ke pejabat SPRM Selangor untuk memberikan keterangan.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2023 dengan mengeluarkan resit disyaki palsu bagi bayaran permohonan pelan bangunan.

Bagaimanapun, wang kutipan berkenaan dipercayai tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun hasil PBT tempat suspek bertugas.