JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera menambah penempatan tenaga kerja, khususnya jururawat bagi mengisi kekosongan kritikal di Hospital Pasir Gudang (HPG) yang kini berdepan kekurangan 513 jawatan berkenaan.
EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata penambahan sumber manusia penting bagi memastikan kapasiti perkhidmatan hospital itu dapat dioptimumkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
"Kekangan yang paling kritikal ketika ini membabitkan perjawatan jururawat. Terdapat 513 kekosongan jawatan yang perlu diisi berbanding hanya 343 jururawat yang sedia ada ketika ini.
"Bagi perjawatan pegawai perubatan (doktor), ia berada pada tahap hampir penuh apabila hanya mencatatkan sembilan kekosongan daripada keseluruhan 197 perjawatan yang diperuntukkan," katanya.










