JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tangki air di Taman Kedidi, Jalan Kedidi 26, Pasir Gudang di sini hari ini.

Mangsa, Jamaluddin Wahab, 48, berjaya dikeluarkan anggota bomba pada pukul 12.33 tengah hari selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi.