MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif yakin persefahaman dijalin bersama Barisan Nasional (BN) mampu menyuntik arus perubahan sokongan di kerusi berkenaan.
Tidak mahu membuat sebarang ramalan mengenai keputusan akhir pilihan raya, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Hang Tuah Jaya itu berkata penyatuan ummah dan muafakat dibina antara PN dan BN mampu membuka peluang untuk membentuk sebuah kerajaan dipimpin gabungan Melayu di Melaka.
"Keputusan akhir saya tidak boleh menjanjikan atau menjangkakan sepenuhnya.
"Cuma, kita yakin penyatuan ummah dan muafakat dibina ini adalah peluang baik untuk kita berkumpul dalam satu gabungan bagi memastikan kerajaan dibentuk kelak adalah kerajaan antara gabungan Melayu yang akan memimpin, khususnya di negeri Melaka dan DUN Bukit Katil," katanya.










