KUALA LUMPUR: Pengguna jalan raya sekitar Lembah Klang digesa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika melintasi 56 lokasi 'panas' serta 232 kawasan berisiko banjir sepanjang musim monsun ini.

​Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (RSEA), Jamil Manan Supri, berkata ​berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Daerah Klang mencatatkan lokasi hotspot tertinggi iaitu 13 lokasi, diikuti Petaling (11 lokasi) dan Gombak (10 lokasi).

​Beliau berkata, antara kawasan berisiko tinggi di Selangor memerlukan perhatian khusus pemandu merangkumi Taman Sri Muda, Seksyen 7 dan 13 di Shah Alam, Bukit Raja, Kapar, Kampung Rantau Panjang, serta Jalan Kebun di Klang.

Katanya, lokasi lain turut berisiko adalah Jalan 223, Seksyen 51, PJS 2/4/6, Taman Medan, Sri Manja, Buana Perdana, Batu Caves, serta kawasan sekitar Gombak.