Kuala Lumpur : Dewan Perniagaan Ekonomi Strategik Malaysia (DPESM) menyeru kerajaan supaya memberi penekanan pada reformasi struktur ekonomi, tadbir urus korporat dan pembangunan industri strategik berbanding terlalu bergantung kepada bantuan kewangan jangka pendek menerusi Belanjawan 2027.
Menurut Presiden DPESM, Syed Azaudin Syed Ahmad, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berupaya meringankan beban kewangan rakyat, namun bantuan tunai semata-mata tidak mampu menjamin kemakmuran yang mampan untuk jangka panjang.
"Kita tidak boleh membina sebuah negara berpendapatan tinggi hanya melalui pemberian bantuan.
"Kerajaan perlu menangani persoalan mengapa kadar upah masih tertekan, mengapa perniagaan bergelut untuk bersaing dan mengapa ramai rakyat masih bergantung kepada bantuan kewangan untuk keperluan asas.










