PETALING JAYA: Aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu dan PINTAZ perlu menawarkan lebih banyak kemudahan untuk membantu pengguna merancang perjalanan.

Malah, pembangunan aplikasi tersebut perlu disertai usaha membina kepakaran teknologi sendiri supaya tidak sekadar meniru Waze.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, aplikasi tempatan boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih luas daripada sekadar menunjukkan arah dan laluan.

Katanya, maklumat parkir, cuaca, amaran banjir dan pengangkutan awam boleh digabungkan dalam satu aplikasi bagi membantu pengguna me­rancang perjalanan berdasarkan kos, masa serta keselamatan.