BANDAR GAZA: Lima warga Palestin termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita dilaporkan maut selepas tebing pasir runtuh dan menimbus khemah kediaman pelarian berpunca daripada hujan lebat yang melanda Gaza semalam.

Agensi Perkhidmatan Penyelamat Gaza mengesahkan insiden tragis berkenaan berlaku di pusat perlindungan sementara yang terletak di selatan Deir al-Balah, bahagian tengah Semenanjung Gaza.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal memaklumkan bahawa tebing pasir berkenaan runtuh secara tiba-tiba ke atas susunan khemah yang mendiami keluarga pelarian.

“Pasukan penyelamat kini sedang meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa lain yang disyaki masih tertimbus,” kata Bassal menerusi satu kenyataan rasmi.