Kuala Lumpur: Datuk Abdul Halim Kader terus diberi kepercayaan menerajui Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) selepas disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk penggal baharu.
Perkembangan itu hadir selepas Sekretariat ASTAF yang bermesyuarat di Bangkok, Thailand, hari ini mengesahkan hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan berkenaan sebelum tempoh penamaan calon berakhir pada jam 5 petang waktu Malaysia.
Turut mencatat kemenangan tanpa bertanding ialah dua calon bagi jawatan Timbalan Presiden, iaitu Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohamad Sumali Reduan dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Thailand, Dr Srihassak Arrirachakaran.
Bagaimanapun, persaingan masih terbuka bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif apabila jumlah pencalonan diterima melebihi kerusi yang ditawarkan.










