KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim menganggap ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan Gergasi Merah mara ke final Piala FA.

Safiq yang juga bekas pemain Selangor dan JDT menjelaskan kegagalan Selangor ke final Piala FA selepas tewas kepada Kuching City FC menerusi agregat 2-3 sepatutnya menjadi perkara yang perlu Pan Gon fikirkan dan nilai semula.

Dia berkata, cara Selangor bermain dilihat lebih banyak bertahan dan pendekatan taktikal yang digunakan juga boleh dipersoalkan serta lebih menarik apabila gol sendiri yang menjadi antara punca kekalahan itu pula dijaringkan oleh pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian.

Malah, dia turut mempersoalkan mengapa setiap kali ada masalah atau kegagalan, isu pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sering dibangkitkan.