JAKARTA – Berang sambal masakannya dikritik terlalu masin, seorang lelaki tergamak menikam anak saudaranya sediri hingga mati dalam kejadian di Kampung Sindangsari, Garut dalam wilayah Jawa Barat, baru-baru ini, lapor saluran berita Kumparan.
Mangsa berumur 21 tahun yang dikenali sebagai RS, dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang bapa saudaranya, M Alias Opik, 39, menggunakan senjata tajam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Garut, AKP Herman Saputra berkata, kejadian pukul 9 malam (waktu tempatan) itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut sewaktu mereka menghadiri acara makan bersama keluarga atau tradisi tempatan yang dikenali sebagai ngaliwet.
Menurut polis, suasana kenduri kecil di rumah yang asalnya tenang bertukar kecoh selepas mangsa secara spontan mengadu sambal yang dihidangkan terlalu masin.









