JAKARTA – Keperitan penduduk di kawasan pedalaman Sulawesi Barat mencuri perhatian masyarakat selepas tular rakaman video sekumpulan penduduk kampung mengusung seorang pesakit sejauh kira-kira 20 kilometer akibat jalan raya yang rosak teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa, lapor saluran berita Lambe Turah.

Kejadian di Desa Baruru, Daerah Mamasa itu menyaksikan lelaki tempatan dikenali sebagai Petrus diusung selama tujuh jam dengan berjalan kaki demi mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Komuniti (Puskesmas) Aralle.

Ketua Kampung Baruru, Rusman ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa mengalami masalah bengkak kaki serius sehingga sukar bergerak dan memerlukan rawatan perubatan segera.