KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menafikan spekulasi bahawa Malaysia boleh menjadi tuan rumah perlumbaan pembukaan musim Formula Satu (F1) 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini, dengan memberikan maklum balas ringkas, "Hal ini tidak benar."
Penafian itu susulan hantaran media sosial oleh F1 Lead, portal berita perlumbaan itu, yang mencadangkan bahawa Sepang boleh dipertimbangkan sebagai lokasi alternatif untuk pembukaan musim 2027 sekiranya kebimbangan terhadap keselamatan di Timur Tengah mengganggu kalendar perlumbaan.
Hantaran berkenaan mendakwa bahawa litar ikonik Malaysia itu boleh menjadi lokasi pilihan sekiranya Bahrain dan Arab Saudi tidak dapat menganjurkan Grand Prix (GP) masing-masing berikutan isu keselamatan.








