Kota Kinabalu: Sebuah hospital di Sabah berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kali kedua ke atas pasangan kembar siam jenis pygopagus.

Pembedahan terbaharu itu, yang membabitkan kembar bayi lelaki pramatang yang bercantum pada bahagian bawah tulang belakang, tulang kelangkang dan pelvis dijalankan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, dekat sini.

Kembar itu dilahirkan secara pramatang melalui pembedahan Caesarean kecemasan pada usia kandungan 32 minggu, selepas keadaan itu dikesan semasa pemeriksaan antenatal rutin.

Mereka kemudiannya terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan rapi.