KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih United Plantations Bhd meningkat kepada RM290.92 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM203.27 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu mencerminkan prestasi operasi yang kukuh dalam segmen perladangan, didorong oleh jumlah pengeluaran dan harga jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, selain sumbangan lebih besar daripada segmen penapisan, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil turut meningkat kepada RM722.22 juta daripada RM677.07 juta, disokong peningkatan sumbangan segmen perladangan dan penapisan.

Menurut syarikat itu, hasil segmen perladangan meningkat 28 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, didorong jumlah pengeluaran MSM dan isirung sawit yang masing-masing meningkat 25 peratus dan 29.6 peratus.