KUALA LUMPUR: Malaysia melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026 daripada tangga ke-34 pada tahun lalu, sekali gus muncul sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian itu didorong khususnya oleh peningkatan 21 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-28 dari segi kecekapan, dan kedudukan ke-12 bagi pelaksanaan strategi AI nasional.
"Malaysia turut mencatat kedudukan ke-18 bagi pembangunan tenaga kerja, kedua dunia bagi graduan sains, kelima bagi modal teroka, keenam bagi eksport berteknologi tinggi dan kelapan bagi insentif pelaburan AI," kata Anwar melalui hantaran di laman Facebook beliau hari ini.








