PUTRAJAYA: Putrajaya mencatatkan kadar pengangguran terendah pada 1.3 peratus diikuti Melaka dan Selangor masing-masing 2.0 peratus, serta Pahang (2.1 peratus) pada suku tahun ketiga 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi kenyataan mengenai Statistik Tenaga Buruh, September dan Suku Ketiga 2026 yang diterbitkan hari ini, DOSM memaklumkan pada peringkat nasional, kadar pengangguran kekal 3.0 peratus pada suku tahun berkenaan sama seperti tahun sebelumnya meskipun jumlah penganggur meningkat 0.8 peratus kepada 513,700 orang berbanding 509,700.

Menurut DOSM, pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.28 juta pada suku tahun kedua 2026.